MAKLUMAN

ASSALAMUALAIKUM....

BLOG UNIT PENDIDIKAN ISLAM PPD KINTA UTARA TELAH BERPINDAH KE ALAMAT BERIKUT:

http://www.upikintautara.com

Error: Embedded data could not be displayed.

Tuesday, March 2, 2010

SALAM MAULIDUR RASUL

RASULULLAH S.A.W DIKASIHI SUNNAH DIIKUTI


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Bersyukur kehadrat Ilahi kerana telah mengizinkan kita bertemu sekali lagi melalui ruangan “TAZKIRAH” ini. Semuga semuanya berada dalam pemeliharaan Allah Ta'ala dan dirahmati-Nya.

Rasanya masih belum terlambat untuk kita membicarakan berkaitan dengan Maulidur Rasul. Maulidur Rasul yang jatuh pada pada 12 Rabiul Awal merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w (Sallallahu Alaihi Wasallam). Baginda adalah nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Setiap tahun pada tarikh ini, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah, forum dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya. Antara perkara yang patut kita renungi dan ikuti diantaranya seperti :

- Sentiasa mengenang segala, jasa, pengorbanan dan perjuangan baginda bagi
menunjukkan rasa kasih kepada baginda.

- Perbanyakkan selawat kepada baginda s.a.w

- Contohi akhlak dan sifat-sifat mulia Rasulullah s.a.w dan mpraktikkannya
dalam kehidupan seharian.

- Pergaulan yang baik dengan seluruh masyarakat hendaklah diamalkan untuk
kecemerlangan umat dan agama Islam.

Kelahiran Rasulullah s.a.w adalah pembawa rahmat ke seluruh alam. Umat Islam sewajarnya mengambil pengajaran dan contoh teladan sepanjang riwayat hidup baginda. Baginda patut dicontohi oleh umat Islam dalam semua aspek kehidupan manusia. Rasulullah s.a.w boleh dicontohi sebagai seorang pemimpin, guru, sahabat, suami, bapa dan sebagai seorang individu muslim yang sempurna.

Memandangkan betapa besarnya jasa dan pengorbanan baginda , maka sewajarnya kita menyayangi baginda dengan sepenuh hati. Menyayangi Rasulullah s.a.w bukan sahaja memadai dengan pengakuan dalam hati tetapi hendaklah melalui selawat kepada baginda. Disamping itu kita hendaklah meneladani akhlak-akhlak baginda yang terpuji dan mulia dalam kehidupan seharian.

Mereka yang mengasihi Rasulullah s.a.w mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya termasuklah :

1. mendapat syafaat daripada baginda pada hari akhirat yang mana syafaat
ini hanya dianugerahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk umatnya
sahaja;

2. hidup akan diberkati oleh Allah Ta’ala;

3. seseorang itu akan dikasihi dan disayangi oleh Allah Ta’ala;

4. mendapat petunjuk daripada Allah Ta’ala kerana mengamalkan hadis-hadis
baginda

Benarkah kita mengasihi Rasulullah s.a.w? Dalam konteks hidup bermasyarakat sudahkah kita :

1. mengamalkan ucapan salam apabila bertemu

2. menasihati dengan jujur apabila diminta

3. mengambil berat menziarahi saudara kita yang sakit

4. telah mengasihi dan menyayangi kedua ibu bapa kita

5. bersaudara dengan berkasih sayang kerana Allah Ta'ala

6. berbaik sangka sesama muslim

7. menjadi seorang muslim yang menyembunyikan sumbangannya sehingga tidak
diketahui orang

8. membuat sesuatu untuk mencari keredhaan Allah bukannya keredhaan
manusia, dan banyak lagi kalau nak diperkatakan diruang yang agak
terhad ini.

Akhir kalam, marilah kita sanjungi Rasulullah s.a.w dengan ikhlas dan benar. Marilah kita renungi jerih payah perjuangan baginda dalam menyampaikan risalah, setiap pagi, petang, siang dan malam. Tidak ada cara yang lebih bererti dari mengamalkan setiap amanat dan sunnahnya selama hayat dikandong badan. Semuga Allah Ta'ala melimpahi kita sekelian dengan rahmat-Nya. Sebelum mengundurkan diri, saya berharap semua warga pendidik dapatlah memberi sokongan dan kerjasama agar program Maulidur Rasul dapat dijayakan di sekolah-sekolah, seterusnya berjaya menampakkan hasil kejayaan dalam memartabatkan agama Islam di muka bumi Allah Ta'ala yang tercinta ini. Jumpa lagi

hj.wan

Tahun 2011,semua guru pendidikan islam diwajibkan menjadi ahli pekdis.