MAKLUMAN

ASSALAMUALAIKUM....

BLOG UNIT PENDIDIKAN ISLAM PPD KINTA UTARA TELAH BERPINDAH KE ALAMAT BERIKUT:

http://www.upikintautara.com

Error: Embedded data could not be displayed.

Saturday, December 19, 2009

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1431



 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, 

Bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dapat bersua kembali. Marilah kita berdoa semuga semua warga PPDKU, warga sekolah rendah dan menengah berada dalam pemeliharaan Allah S.W.T dan diberkati-Nya.
Setahun telah berlalu dan kini kita berada di tahun 1431 hijrah. Kedatangan awal muharram mengingatkan kita tentang sejarah hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah. Sambutlah dengan keazaman yang berkobar-kobar yang disulami dengan muhasabah dan semangat perjuangan untuk melaksanakan perubahan. Kepentingan hijrah bagi umat Islam adalah dipandang dari dua sudut.

Pertamanya dari sudut sejarah perkembangan Islam dan yang kedua dari sudut pengajaran yang tersirat disebalik peristiwa itu bagi kehidupan umat Islam sama ada kehidupan secara individu atau kehidupan bermasyarakat. Dari segi sejarah, hijrah adalah satu peristiwa yang amat penting dan amat besar ertinya bagi perkembangan agama Islam sehingga peristiwa itu dijadikan titik permulaan bagi perkiraan tahun Islam yang dinamakan tahun Hijrah.

Dari sini marilah kita mengambil beberapa pengajaran dari peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W dari Kota Makkah ke Kota Madinah.

Pertama, memperlihatkan usaha yang bersungguh-sungguh orang kafir yang ingin menghancurkan Islam dan pendokong dakwah iaitu Rasulullah S.A.W. Ini dapat dilihat bapa saudara baginda, Abu jahal mencadangkan Rasulullah S.A.W ditangkap dan dibunuh.

Kedua, perancangan kerja yang teliti Rasulullah S.A.W disamping bertawakkal kepada Allah S.W.T. Contohnya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah menyediakan dua ekor unta dan menyuruh anaknya, Abdullah menjadi pengintip dan melaporkan kepadanya dimalam hari.

Ketiga, semangat sanggup berkorban apa sahaja untuk Islam. Kepentingan Islam hendaklah mengatasi lain-lain kepentingan. Kita lihat pengorbanan kaum Ansar dan Muhajirin dan Rasulullah S.A.W sendiri yang amat berat untuk meninggalkan Kota Makkah tetapi tetap diteruskan demi agama Islam.

Keempat, kasih sayang yang mendalam umat Islam terhadap Rasulullah S.A.W. Dua contoh menunjukkan sifat ini iaitu, peristiwa Saidina Ali, sepupu baginda sendiri walaupun masih kanak-kanak tetapi sanggup mengambil alih tempat tidur Rasulullah S.A.W walaupun risikonya amat tinggi. Begitu juga penduduk Madinah yang begitu gembira menyambut kedatangan Rasulullah S.A.W ke Madinah.

Kelima, pertolongan Allah S.W.T akan datang pelbagai bentuk. Dua peristiwa boleh diambil iktibar iaitu Allah Ta’ala mengutus labah-labah untuk membuat sarang dipermukaan gua melindungi Rasulullah S.A.W dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Peristiwa kedua, Suraqah bin Malik yang mengejar dan berniat membunuh Rasulullah S.A.W untuk mendapat ganjaran lumayan tetapi kudanya jatuh tersungkur.

Daripada lima pengajaran itu, maka kedatangan hijrah janganlah kita hanya ghairah mengadakan peringatan demi peringatan tetapi kering tanpa penghayatan. Islam menghendaki perubahan ke atas diri umatnya ke arah lebih baik. Marilah kita sambut kehadiran tahun baru hijrah ini dengan rasa syukur dan gembira. Bukalah lembaran baru dan jadikanlah semalam sebagai pengalaman yang boleh mengajar kita lebih baik pada hari ini. Banyak yang boleh kita buat hari ini hasil iktibar peristiwa hijrah tersebut. Diantaranya :

i- Keikhlasan dalam melaksanakan tugas kita. Mencari keredhaan Allah S.W.T hendaklah diutamakan dari mencari keredhoan manusia.

ii- Melaksanakan sunnah Rasulullah S.A.W, banyakkan qiamullail, solat sunat, puasa sunat, membaca dan memahami Al-Quran, berzikir dan berselawat ke atas baginda.

iii- Membuat sesuatu tugasan, tanggungjawab, amanah dengan perancangan yang sistematik dan bersungguh-sungguh.

Akhir kalam, marilah kita lihat sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : “Barangsiapa yang amal perbuatannya hari ini lebih baik dari semalam atau kelmarin, maka ia tergolong orang beruntung. Dan barangsiapa hari ini amalnya sama dengan semalam, maka ia termasuk golongan orang yang rugi. Dan barangsiapa yang amalnya hari ini lebih buruk dari semalam, maka ia tergolong orang yang mendapat laknat dari Allah S.W.T. Wallahu a’lam.

"Selamat tahun baru Hijrah 1431". Sampai jumpa lagi dilain masa.

0 comments:

Post a Comment

Tahun 2011,semua guru pendidikan islam diwajibkan menjadi ahli pekdis.